JellyPages.com

Tuesday 8 October 2013

Profesor Dr. Jafri Malin Abdullah , pakar bedah otak , my inspiration

Profesor Dr. Jafri Malin ialah anak kelahiran Sungai Rambai , Bukit Mertajam , Seberang Perai , Pulau Pinang . Beliau adalah graduan sulung dalam bidang doktor perubatan di Universiti Sains Malaysia ( USM ) pada tahun 1986 . Selepas tiga tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan , beliau mengikuti latihan kepakaran selama enam tahun di University of Ghent , Belgium dan Karolinska Institute of Neurosciences , Stockholm , Sweden . Beliau kini memegang jawatan Ketua Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan , Universiti Sains Malaysia di samping pakar bedah otak Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian .

Pada usia 41 tahun , Profesor Dr. Jafri Malin dilantik menjadi Felo Academia Durasiana Neurochirurgica , sebuah badan berprestij yang dianggotai oleh hanya 100 pakar bedah otak dari seluruh dunia . Pelantikan tersebut telah mencatat sejarah kerana beliau ialah profesor termuda yang dilantik sebagai Felo badan tersebut . Kebanyakan anggota lain yang berasal dari negara-negara Asia , Australia , dan Eropah berumur 55 tahun ke atas .

Pada awal tahun 2004 , beliau telah dinobatkan sebagai anak Melayu pertama yang mendapat gelaran profesor tanpa menduduki peperiksaan daripada The Royal College Of Surgeons Edinburgh , Scotland . Gelaran ini diberikan sebagai menghargai sumbangannya yang cukup bermakna dalam penyelidikan , pendidikan dan pembedahan neurosains .

Menurut Profesor Dr. Jafri Malin , rahsia kejayaannya bersumberkan tiga falsafah yang menjadi pegangan hidup beliau . Falsafah pertama ialah berkata "tidak" tiada ruang dalam kamus hidupnya . Beliau percaya bahawa tidak ada perkara yang tidak dapat dilakukan di dalam dunia ini , kecuali yang sudah ditentukan oleh qadak dan qadar Tuhan . Falsafah kedua ialah kepercayaan bahawa Tuhan Maha Agung . Tidak ada ertinya seseorang itu belajar sehingga ke peringkat tertinggi tetapi mengabaikan tanggungjawab kepada Tuhan . Falsafah ketiga ialah disiplin .

Beliau yang pernah menerima anugerah "Saintis Muda Negara 2000" berkata bahawa kejayaan beliau pada hari ini tidak diperoleh melalui jalan mudah . Pelbagai halangan telah dilalui dan ditempuhi dengan semangat yang kental serta keazaman yang tinggi . Ketika menuntut di luar negara , beliau ialah satu-satunya penuntut Melayu yang mengambil bidang neurosains , manakala yang lainnya adalah penuntut dari Barat yang kebanyakannya berbahasa Belanda . Keadaan tersebut telah menyebabkan beliau berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Belanda . Sebagai hasilnya , dalam tempoh tiga bulan , beliau berjaya menguasainya .

"Berbanding dengan penuntut lain , hanya saya seorang saja yang berbangsa asing . Oleh itu , saya kena lebih rajin , lebih pandai , dan lebih mantap daripada mereka . Jika orang lain berusaha dua kali ganda , saya perlu berusaha tiga kali ganda," jelas beliau sambil mengacungkan tiga jari tangan kanannya .

Menurit Profesor Dr. Jafri Malin , sikap orang Barat pada umumnya memandang rendah terhadap orang Asia yang berbangsa Melayu ketika itu cukup ketara . Namun , hal tersebut tidak mematahkan semangat beliau . Akhirnya , beliau bukan sahaja lulus dengan cemerlang , malah berjaya melakukan pembedahan setaraf dengan pembedahan yang dilakukan oleh pakar perubatan Barat . Kejayaan ini bukan sahaja merupakan kejayaan peribadi beliau tetapi juga mengangkat martabat pakar perubatan rakyat Malaysia ke peringkat antarabangsa .

No comments:

Post a Comment